Sekitar program ‘Deep Rooted Tree’ 2012

9 May

Pada 6 Mei yang lalu, IKRAM Wales dan South West dengan kerjasama Cardiff Nusantara Network (CNN) dan Cardiff Keluarga (CK)  telah menganjurkan sebuah program bertajuk ‘Deep Rooted Tree’ dengan penampilan utama Saudari Aliyyah Mohammad Khuzaini (Bristol) dan Saudari Wardina Safiyyah Fadlullah yang diterbangkan khas dari Malaysia. Kehadiran peserta amat menggalakkan iaitu seramai 150 orang.

Program ini bertemakan surah Ibrahim ayat 24-27 mengenai ‘kalimah yang baik seperti batang pohon yang baik; akar tunjangnya teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit’ sebagai analogi peribadi muslim dan mukmin yang teguh akidahnya sehingga mampu dicampak ke dalam masyarakat dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur bukan Islam.

Program dimulakan pada jam 4 petang dengan perkongsian delegasi iLubnan; Aliyyah Mohammad Khuzaini mengenai 5 pelajaran yang boleh diambil dari kunjungan Team iLubnan 2012 ke Lubnan pada April lalu untuk menyingkap keadaan pelarian Palestin di sana. Slot ini bertujuan untuk menimbulkan perasaan peduli ummah dalam kalangan hadirin dan menyeru untuk menyumbang dalam apa sahaja cara demi saudara sesama Islam kita.

Sebelum sesi kedua dimulakan, Saudara Hanif Noor Izan memperkenalkan IKRAM UKE kepada para hadirin. Kemudian majlis diteruskan dengan sesi kedua yang  bermula pada jam 5.30 petang menampilkan Wardina Safiyyah sebagai penceramah utama – bercakap mengenai bagaimana menjadi ‘pohon yang teguh’ itu di samping selitan kisah hidup beliau dan pengalaman  ke Jerusalem baru-baru ini.

Program tamat pada jam 8 malam dan disudahi dengan sesi fotografi bersama Wardina Safiyyah.

Jazakumullahkhayr katheera kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Berikut merupakan video dan gambar-gambar (klik untuk paparan yang lebih besar) di sekitar program:

Sesi 1

Sesi 2

Advertisements

The ‘Deep Rooted Tree’ event (upcoming!)

20 Mar

Assalamualaikum wbt.
Hope everyone is well

Are we playing the right role as a Muslim in the society? Ever wonder how we can make a difference? Come and join us in this event and discover the journey to be THE Muslim

InsyaAllah, there will be a talk by Wardina Safiyyah in Cardiff, brought to you by IKRAM WSW

Everyone is welcome to this event, but places are limited ( only the first 150 people to register)

To register, simply fill in the form below:

https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dDhweW5PU2FOSHBpaTNJajJ0UllqV0E6MQ

3 Pound registration fees will be charged (75% will be donated to Palestine & Syiria)

Dinner will be provided

Venue: To be confirmed

——————————————————————————————–
Wardina Safiyyah, a great TV host, motivator, Malaysian celebrity and Islamic activist. Her website is www.wardinasafiyyah.com.
———————————————————————————————

“to embrace the root, is to be deeply rooted”

See you there, insyaAllah!

Perutusan Sempena Maulidur Rasul 1433H

5 Mar

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakaatuh,

Alhamdulillah robbil alamin, was sola tu was salam ‘ala sayyidil mursalin wa ala aalihi wa sohbihi wa man sanna bi sunnatih ila yaum din.

Ikhwah akhawat yang dikasihi,

Kita ditakdirkan Allah untuk hidup dalam satu zaman yang ghareeb (asing) di mana pada zaman inilah terkumpulnya segala rencam kezaliman, kemaksiatan dan kefasadan yang pernah satu ketika dulu berlaku pada zaman Nabi Nuh, Ibrahim, Lut, Shuaib, Musa, Isa dan rasul yang lain. Inilah zaman yang memerlukan segala bentuk kekuatan yang dipunyai oleh rasul-rasul sebelum ini utk melawannya.  Di dalam suasana begini bagaimanakah seharusnya kita memperingati kelahiran nabi kita Nabi Muhammad saw?

Mari kita menyingkapi suasana sebelum lahirnya Rasulullah saw. Ketika itu dunia dalam kegelapan tanpa cahaya petunjuk. Kuasa pemerintah yang zalim mencengkam kehidupan rakyat jelata. Manusia di seluruh alam hidup dalam kebodohan tanpa sebarang pimpinan ilahi. Wahyu yang menghubungkan langit dan bumi telah terputus beratus tahun.  Tiada petunjuk kebenaran, tiada berita gembira, tiada cahaya harapan untuk manusia hidup dengan kemuliaan. Tiada sebarang nilai yang dapat mengangkat martabat manusia kembali kepada fitrahnya. Umat Nasrani yang diamanahkan kitab injil untuk memimpin manusia telah ingkar dan menolak khabar kelahiran Nabi yang terakhir. Ketaksuban mereka kepada sosok Nabi Isa menyebabkan mereka  mengangkat Nabi Isa setaraf dengan Robbul ‘alamin dan lupa kepada ajaran Nabi Isa sendiri. Umat yang mengaku paling menyintai Nabi Isa adalah yang pertama sekali melakukan pendustaan kepadanya. Mereka telah durhaka dan khianat kepada ajaran Ilahi. Pelbagai penyelewengan dilakukan atas nama agama untuk mempertahankan dakyah mereka. Ketika itu, apa lagi harapan yang tinggal untuk umat manusia?

Saat itulah Allah memberikan khabar gembira kepada seluruh manusia dan pelusuk alam tentang kelahiran Nabi Muhammad saw, rasul terakhir yang menjadi pelengkap ajaran-ajaran nabi-nabi terdahulu, memimpin manusia menuju sinar Ilahi, membebaskan manusia dari segala cengkaman kezaliman, meletakkan manusia setaraf dengan kemuliaannya yang satu tika dulu telah bersujud kepadanya seluruh malaikat. Kelahirannya telah memberikan manusia degupan untuk hidup kembali berpandukan petunjuk Ilahi. Dialah Nabi Muhammad saw.

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi,

Tiada kemuliaan lebih mulia dari menjadi umat Muhammad saw. Kita adalah umat Al-Quran, umat yang berbekalkan mukjizat yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Allah swt dengan segala rahmahNya telah mengutuskan kepada Nabi Muhammad saw, dan dengan rahmahNya juga telah menarik nyawa Nabi Muhammad saw tanpa seorang pun dari kita sempat bertemu dengannya. Dengan rahmahNya juga telah mengamanahkan kita mukjizat Al-Quran di tangan kita. Dengan kitab ini sahajalah kita dapat membebaskan manusia dari segala bentuk kezaliman dan kebodohan, memberikan khabar gembira dan pengharapan kepada manusia. Maka perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh memahami kitab ini, mentadaburnya, menghafalnya, mengamalkannya, berhukum dengannya, menjadikannya rujukan tertinggi dalam hidup kita. Inilah tanda cinta kita kepada Nabi Muhammad saw. Tidak cukup untuk hanya kita mengulang-ngulang kalimah cinta dan rindu Nabi Muhammad tanpa sebarang pengorbanan dari kita. Janganlah kita menjadi seperti pengikut Nabi Isa yang memujanya tetapi tidak mengikuti ajarannya dan mengkhianatinya.

Dalam surah Al-Hadid Allah berfirman ‘wa anzalnaa ma’ahumul kiitab wal miizan’(57:25)  di mana Allah memberikan para Nabi kitab dan mizan iaitu petunjuk atau neraca. Untuk apa? ’liyaquuman naasa bilqist’ untuk menegakkan dan memberikan keadilan kepada manusia. Tiada sebarang hukum dan neraca yang dapat memberikan keadilan melainkan keadilan haqiqi yang dapat diberikan oleh kitab dan petunjuk Allah swt. Kitab itulah yang berada pada ummat Nabi Muhammad saw, ummat Al-Quran.

Yang menariknya Allah swt mengaitkan ayat tersebut dengan penurunan ‘hadid’ iaitu besi. Cubalah lihat sekeliling kita, bagaimana kehidupan manusia sangat bergantung kepada besi dan betapa banyak manfaat besi yang Allah swt berikan. Jika bukan kerana manfaat besi, manusia kemungkinan akan berterusan hidup di dalam hutan tanpa sebarang tamadun. Itulah gambaran Allah jika kita hidup tanpa kitab dan mizaan oleh Allah swt. Sudahkah kita menjadikan ajaran yang terkandung dalam kitab, rahmah dan manfaat kepada manusia sebagaimana manfaatnya besi kepada kehidupan seharian kita?

Ikhwah akhawat yang dikasihi,

Dengan memahami sebenar-benarnya intipati ajaran Nabi Muhammad, kita sebenarnya sedang melancarkan revolusi secara total. Revolusi ini tidak sepatutnya difahami dalam erti kata membawa keganasan, kegopohan, penindasan atau kezaliman. Ia bukan datang untuk menggantikan kezaliman dengan kezaliman yang baru. Tetapi revolusi ini adalah satu usaha merubah segala sistem-sistem yang menindas manusia kepada keadilan Islam, menyatukan manusia dalam strata yang sama, menghapuskan dominan satu kaum atas kaum yang lain, menyuruh manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, membebaskan manusia dan wanita dari penindasan, menegakkan keadilan walaupun terhadap diri sendiri mahupun keluarga. Kerana itulah Abu Jahal menolak tawaran Nabi Muhammad kerana ajaran yang dibawa bukan setakat merubah fikrah, akidah dan ibadah ritual semata-mata. Tetapi kerana ajaran yang dibawa Nabi Muhammad itu membebaskan para hamba, meletakkan orang miskin setaraf dengan orang kaya, mengembalikan hak dan maruah wanita, menolak penindasan dan penipuan peniaga. Kita lihat bahawa ajaran ini sifatnya merubah status quo masyarakat. Ia tidak pernah mengalir searus dengan kezaliman.

Ikhwah akhawat yang dikasihi,

Ingin saya bertanya bagaimana kita boleh menjayakan revolusi ini?

Rasulullah tidak meninggalkan kitab dan sunnahnya dalam lembaran kertas bahkan lembaran kertas itu semuanya ada bersama kita. Tetapi Rasulullah meninggalkan Al-Quran dan Sunnah dalam bentuk manusia, ya dalam bentuk Rijal. Ini yang kita tiada. Kebenaran dan keadilan tidak akan ditegakkan oleh mushaf dan helaian-helaian sunnah, tetapi ia memerlukan Rijal yang benar-benar memahami ajarannya. Rijal yang menghabiskan masa memahami dan mengkaji ayat-ayat Allah, dahinya mempunyai kesan-kesan sujud, matanya berjaga di sepertiga malam, lidahnya basah berzikir mengingati Allah, harapan dan pergantungannya cukup hanya kepada Allah. Inilah resepi kejayaan revolusi ini.

Marilah kita berusaha meletakkan setiap hari waktu untuk membaca Al-Quran, mendalami dan mengajarkannya kepada orang lain. Dunia hari ini sangat-sangat dambakan rijal Al-Quran, kerana itulah satu-satunya harapan ummat ini.

Wassalam

Yang berkhidmat,

Mus’ab Shaharom

Penolong SU Agung

IKRAM UKE

Aku seorang tukang cat!!!

24 Aug

“Tahun ni kita nak buat kaler apa?”

“Mama rasa warna putih yang dulu tu cantik lagi. Tak perlu nak tukar-tukar, bazir duit je.”

“Abah nak kaler pink.”

“Hijau.”

Kaler kuning lagi cantik la.”

Susahnya hendak mencapai kata sepakat dalam menentukan warna yang sesuai untuk mengecat rumah tahun ini. Maklumlah, 11 kepala dalam satu keluarga, memang macam-macam ragam. Selepas berbincang dan masing-masing tunjukkan warna pilihan masing-masing, akhirnya kata putus dicapai. Semua bersetuju agar warna rumah tahun ini mengikut tema warna baju raya tahun ini. Jingga (orange).

………

“Nyonya, saya mahu kaler yang ini, brand  yang ini. Tak mahu yang lain.”

“Haiyaa, itu cat bukan untuk dinding. Itu kaler untuk besi macam pintu pagar. Mana boleh guna untuk cat dinding.”

Di kedai pun, masalah masih tetap ada. Warna yang dipilih tidak sesuai untuk mengecat dinding rumah. Maka, setelah pusing satu pekan, akhirnya terjumpa sebuah kedai yang menjual cat khusus untuk cat dinding yang warnanya seakan-akan warna yang dipilih.

“Kalau you mahu yang murah, ambil brand XXX ni la. Yang ok sikit pakai brand YYY. Yang paling baik dan cantik, brand ZZZ ini la.”

Orange Blossom. Warna cat yang dipilih. Namun dalam satu warna, ada tiga pilihan untuk kualiti yang berlainan. Aduh, pening betul untuk memilih yang mana satu. Kalau ambil yang murah, takut nanti warna cepat pudar. Yang mahal pulak, out of budget. Maka setelah di kira-kira, ambil yang tengah-tengah.

………

Sebelum mula mengecat, banyak perkara lain yang perlu dilakukan. Sawang labah-labah di penjuru dinding perlu dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian mana-mana bahagian dinding yang berlubang, perlu ditampal dengan simen supaya permukaan dinding yang mahu dicat menjadi rata. Seterusnya, barang-barang lain yang diletakkan berhampiran dinding perlu diubah agar tidak kotor terkena cat. Akhir sekali, permukaan lantai perlu diletakkan alas surat khabar supaya cat tidak tertumpah ke lantai.

“Cat kamu beli ni murah ke? Nampak cair je. Dinding ni kalau cat double layer baru nampak cantik kalau guna cat ni.”

“Kalau nak nampak cantik, gunakan berus dalam satu arah sahaja. Janganlah kejap menegak, kejap mengiring.”

“Pastikan dinding yang dicat tu sekata. Jangan bagi bertompok. Jangan ada kawasan yang tebal, kwasan yang nipis.”

Bermacam-macam lagi teguran yang saya terima sewaktu mula mengecat dinding rumah ini. Maklumlah, walaupun umur dah lebih 20tahun, hanya beberapa kali sahaja tangan ini pegang berus dan roller untuk mengecat. Tapi alhamdulillah, berkat teguran dan nasihat yang diberikanlah memberikan hasil yang terbaik.

____________________________

Seorang insan yang menggelarkan diri mereka du’at, yang menyeru orang lain kepada jalan mentauhidkan Allah, sebenarnya sama seperti seorang tukang cat. Dalam bab membuat sesuatu keputusan, anak-anak buah yang ramai masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza. Masing-masing mahukan pendapat mereka diambil kira. Seorang naqib/naqibah terpaksa berdepan dengan kerenah anak-anak usrahnya yang mempunyai pelbagai ragam. Skil untuk bertoleransi sangat diperlukan agar kata sepakat dapat dicapai, sama seperti dalam urusan memilih warna cat itu tadi.

Toleransi itu bukanlah penyebab satu pihak rugi dan satu pihak untung. Toleransi itu adalah apabila keputusan yang dicapai itu kita terima dengan hati yang terbuka.” -nasihat seorang ikhwah kepada saya.

………………

Kemana kita sebagai seorang pendakwah menyeru manusia lain? Andai seruan itu disamakan dengan cat, cat yang manakah yang terbaik? Adakah cat yang hanya tahan beberapa tahun sahaja dan terus pudar setelah beberapa lama? Atau cat yang yang bakal membuatkan dinding itu kekal lama dan nampak lebih cantik?

2:138

“Sibgah Allah. Siapa yang lebih baik sibgah-Nya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.” [2:138]

Jika penjual cat itu telah mengatakan bahawa cat jenama ZZZ yang terbaik, percayakah kita kepadanya? Saya yakin, pasti ramai yang akan percaya kepada kata-katanya. Tapi, dalam kes ini, Allah telah menyatakan bahawa sibgah atau celupan milikNya adalah yang terbaik. Agak-agak, ada tak orang yang tak percaya dengan kata-kata Yang maha Pencipta ini?

………..

Sebelum kita mula ‘mengecat’ seseorang dengan sinar Islam, juga banyak perkara lain yang perlu kita lakukan terlebih dahulu. Buangkan sawang-sawang jahiliah di dinding hatinya, tampalkan lubang-lubang luka di hatinya dengan simen Al-Quran, dan alaskan dihadapannya dengan cara hidup seorang mukmin yang sejati. Setelah selesai melakukan perkara-perkara tersebut, barulah kita boleh mula ‘mengecat’.

……….

Andai kita adalah antara orang yang baru sahaja belajar mengecat, maka mintalah pendapat orang yang lebih berpengalaman. terimalah nasihat yang mereka berikan. Andai mereka mengatakan bahawa kita perlu berdakwah ‘double layer‘, maka tingkatkanlah usaha mencapai tahap yang mereka ingini. Di sinilah peranan ketua (qiyadah) sangat diperlukan dalam membimbing pekerja (jundiyah) akan teknik-teknik ‘mengecat’ yang betul dan berkesan.

Perlu diingatkan juga, menjadi seorang tukang cat bukanlah tugas yang mudah. Terpaksa menahan panas terik mengecat dinding luar rumah. Kadang-kadang sewaktu sedang mengecat, hujan turun tiba-tiba menyebabkan kita basah kuyup. Dan yang pasti, pakaian dan diri kita juga pasti akan dikotori oleh lebihan-lebihan cat tanpa kita sedari.

Samalah juga dengan jalan menjadi seorang du’at yang cuba ‘mengecat’ orang lain dengan sinar Islam. Jalan dakwah ini bukanlah jalan yang dihiasi dengan karpet merah, boleh duduk-duduk bawah kipas sambil minum air bandung cincau. Ianya adalah jalan yang sukar dan penuh halangan. Berpanas, berhujan perlu dibiasakan. Kritikan, teguran, dan masalah-masalah lain perlu bijak ditangani. Yakinlah dengan janji Allah yang akan membantu orang yang sabar menegakkan kalimahNya di muka bumi ini.

Kesudahannya, hasil penat lelah kita mengecat, maka terhasillah sebuah rumah yang cantik dan menjadi tempat berteduh untuk sesebuah keluarga. Begitulah juga hasil yang akan kita perolehi dengan berdakwah ke jalan Allah. Orang yang diseru itu boleh menjadi tempat untuk orang lain turut berlindung di bawah sinaran Islam yang sama dengannya.

Wallahu’alam.

AFA

p/s How can we learn to tolerate and respect other people? (klik)

p/ss Beginilah hasilnya rumah saya yang telah siap dicat. Cantik tak? =)

Marathon: Larian ke garisan penamat

22 Aug

Pernahkah anda menyertai mana-mana pertandingan lumba lari jarak jauh (marathon)?

Tahukah anda bahawa jarak rasmi untuk mana-mana marathon adalah sejauh 42.195km?

Anda tahu akan sejarah asal-usul marathon dan kaitannya dengan sejarah Greek?

……………………………….

Ipoh International Run (IIR). Baru-baru ini saya sempat berborak dengan seorang rakan yang pernah menyertai IIR 2011 yang diadakan sekitar awal bulan Julai 2011. Lebih 10 ribu. Itulah jawapan yang diberikan apabila saya menanyakan berkenaan anggaran jumlah peserta. Ya. Memang diakui, IIR ini sangat popular sehinggakan peserta daripada luar Malaysia juga turut menyertainya. Dan jumlah peserta dilaporkan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Kali terakhir saya pernah menyertai pertandingan sebegini adalah sekitar tahun 2005 sewaktu di MRSM Langkawi dahulu. Larian sejauh 7km di mana semua pelajar diwajibkan menyertainya sebagai salah satu syarat untuk mencukupkan jam kredit untuk penglibatan aktiviti kokurikulum.

“Bang!”

Bunyi tembakan dilepaskan ke udara menandakan larian sudah bermula. Pelajar lelaki dilepaskan terlebih dahulu manakala pelajar perempuan bakal dilepaskan selepas 15minit kemudiannya. Kelihatan ramai pelajar yang begitu bersemangat memulakan larian mereka. Ada yang terus memecut berlari dan ada yang berlari-lari anak. Tidak kelihatan orang yang berjalan pun. Semuanya bersungguh-sungguh memulakan larian. (Mungkin segan dan malu jika dipintas oleh pelajar perempuan yang bakal dilepaskan kemudiannya.)

Namun, selepas beberapa kilometer, rentak larian kebanyakan peserta sudah pun berubah. Yang berlari memecut laju tadi kini ada yang hanya berjalan perlahan-lahan kepenatan. Pelajar yang berstamina tinggi, masih lagi kekal dengan rentak larian mereka. Ada juga yang berselang-seli berlari beberapa meter, kemudian berjalan beberapa meter. Tidak kurang juga ada yang terus berhenti dan duduk di bawah pokok. Mungkin mereka sudah berkeputusan untuk tidak menamatkan perlumbaan.

Setelah lebih separuh jarak yang dilalui, semakin ramai pelajar yang mula berjalan. Ramai yang kepenatan dan kelihatan peluh mula membasahi baju mereka. Ramai yang sudah luntur semangatnya, tidak seperti sewaktu memulakan larian. Kelihatan beberapa pelajar perempuan telah pun memintas kebanyakan pelajar lelaki yang hanya berjalan itu.

“Biarlah budak perempuan tu potong kita. Dia selalu lari jauh-jauh macam ni. Kita dah lebih separuh jalan ni pun dah cukup bagus dah.”

Di kilometer yang terakhir, pihak sekolah ada menyediakan van untuk pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk menghabiskan larian, membawa mereka pulang ke garisan penamat. Di checkpoint yang terakhir juga ada disediakan minuman dan makanan ringan. Ramai pelajar berhenti berehat di checkpoint yang terakhir itu. Wajah kepenatan jelas tergambar di muka mereka.

“Sijil saguhati akan diberikan kepada peserta yang dapat sempurnakan larian dalam masa 50 minit.” Penjaga checkpoint mengingatkan kepada peserta yang berehat akan perihal sijil tersebut. Ada yang sudah berputus asa dan tidak menampakkan kesungguhan untuk meneruskan larian. Namun ada juga yang tertarik dengan perkara tersebut dan segera memulakan kembali larian mereka. Menjelang lewat tengahari, pertandingan pun selesai dan para pemenang diberikan hadiah mereka.

………………………………………………

Bulan Ramadhan yang bakal melabuhkan tirainya adalah ibarat marathon untuk kita. Masing-masing berlumba untuk melakukan kebaikan dan  berpesta ibadah sujud kepadaNya. Namun, sangat sedih kerana situasi yang berlaku di mana-mana marathon seperti cerita di atas, turut berlaku untuk bulan Ramadhan bagi kebanyakan orang.

Bermulanya Ramadhan, ramai orang bersemangat untuk memanfaatkannya. Solat Isyak dan Terawikh di masjid-masjid dan surau-surau sentiasa penuh. Malah ada setengah tempat yang suraunya tidak dapat menampung jemaah yang hadir untuk solat. Maklumlah kaum ibu pun turut sama turun padang, tidak mahu ketinggalan dalam merebut pahala menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid. Alhamdulillah, sejuk mata memandang apabila masjid dan surau penuh dengan orang yang datang untuk solat bersama-sama. Yang lebih menggembirakan apabila jemaah untuk solat Subuh juga meningkat dengan mendadak (mungkin selepas sahur ramai yang terus ke masjid untuk solat subuh berjemaah).

Sedihnya, selang beberapa hari, bilangan jemaah mula berkurang. Daripada penuh 5 saf, kini menjadi 4 setengah saf. Jemaah subuh pun turut berkurang. Keadaan bertambah menyedihkan apabila menghampiri pertengahan bulan Ramadhan. Bagi yang selalu ke masjid, saya yakin bahawa kebanyakan daripada anda juga mengalami perkara yang sama.

10 malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Checkpoint terakhir untuk marathon di bulan Ramadhan. Orang yang berlari mengejar Ramadhan disibukkan dengan persiapan menjelang sambutan 1Syawal. Kuih raya, langsir baru, baju baru, kasut baru, dan semua persiapan yang kononnya penting untuk menyambut Hari Raya mengaburi pemikiran si pelari dan menyebabkan ramai yang tewas dan berhenti berlari.

Namun, Allah telah menjanjikan “sijil” bagi yang ingin meneruskan larian mereka.Ganjaran yang menanti bagi mereka yang terus berlari mengejar kebaikan dan memanfaatkan Ramadhan hanya terdapat di penghujung bulan, yakni 10 hari yang terakhir.

97:3

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [97:3]

Ganjaran ini hanya dapat diperoleh oleh orang yang bersungguh-sungguh mencarinya di penghujung Ramadhan, di saat orang lain keletihan dan disibukkan dengan persiapan raya. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan, yang hanya ada dalam bulan Ramadhan, tidak di bulan-bulan yang lain.

Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan larian di bulan Ramadhan ini, memanfaatkan saki-baki beberapa hari yang masih ada sehingga sampai ke garisan penamatnya. Semoga segala usaha kita di bulan yang mulia ini mendapat ganjaran yang setimpal olehNya. Amin.

Wallahu’alam.

AFA

p/s bacaan untuk sejarah marathon. (klik)

p/ss bacaan untuk info malam lailatul qadr oleh ILuvIslam.com (klik)

Kucing dan ikan: pertemuan yang mengundang bahaya

14 Aug

Cuba bayangkan anda adalah seekor kucing yang sangat lapar. Sedang anda berjalan-jalan di sebuah bandar, anda terjumpa ikan goreng yang sedap di tengah jalan. Anggap bahawa anda berada dalam situasi tertentu berikut, apakah yang akan anda lakukan?

1. Ikan tersebut terhidang dalam pinggan tanpa sebarang pengawasan.

2. Ikan tersebut diletakkan dalam tudung saji yang berlubang atau jarang sehingga boleh nampak ikan tersebut walau telah ditutup dengan tudung saji tersebut.

3. Ikan tersebut adalah ikan masin yang mengeluarkan bau yang sangat kuat sehingga menarik perhatian kucing walaupun ikan tersebut telah ditutup dengan tudung saji dengan rapatnya.

4. Ikan tersebut diletakkan dalam tudung saji yang tidak jarang atau berlubang. Tetapi tudung saji tersebut dihias dengan corak gambar ikan sehingga mampu menarik perhatian kucing.

5. Ikan tersebut diletakkan dalam tudung saji yang plain tanpa sebarang corak, tidak jarang atau berlubang, dan juga tidak berbau terlalu kuat.

Berdasarkan kelima-lima situasi yang disebutkan di atas, pada pendapat anda semua, ikan yang manakah yang kurang mendapat perhatian seekor kucing yang lapar?

_________________________________________________________

Baru-baru ini saya berkesempatan menemani adik membeli-belah mencari sepasang baju raya untuk dipakainya ketika Aidilfitri yang bakal menjelang. Bermacam-macam gelagat dan ragam manusia yang saya temui di pusat membeli -belah tersebut. Ada yang keluar bersama keluarga, ada yang keluar berdua, dan ada juga yang keluar berseorangan. Rata-rata mengikut pemerhatian saya, golongan wanita adalah yang paling ramai di pusat membeli-belah tersebut pada waktu itu.

Dalam penat menunggu adik memilih bajunya, saya sempat memerhatikan jenis pemakaian tudung wanita  Melayu (saya percayai mereka adalah Muslim) di sekitar tempat saya duduk. Ada yang lilit-lilit, ada yang bertudung labuh, ada yang bertudung tapi nampak sanggulnya dan tidak kurang juga ada yang yang tidak bertudung.

Tetapi akhirnya, saya boleh kategorikan jenis-jenis pemakaian tudung ini kepada 5 jenis seperti berikut:

1. Wanita yang tidak bertudung.

2. Wanita yang bertudung, tetapi ada kekuranganya. Ada yang nampak sanggul, ada yang pakai tudung yang jarang, dan ada yang pakai tudung, tapi hanya tutup sebahagian daripada rambutnya atau nampak pangkal lehernya.

3. Wanita yang memakai minyak wangi yang terlampau kuat. Tidak kira samada yang bertudung atau tidak, bau minyak wangi yang mereka pakai boleh dihidu daripada jarak 5meter selepas mereka melepasi kita.

4. Wanita yang bertudung menutup auratnya, tetapi pemakaian tudung tersebut terlampau menonjol. Ada yang tudungnya warna merah menyala yang boleh dikesan walau berada dalam kumpulan manusia yang sesak. Malah ada juga yang tudungnya penuh dengan manik-manik, kerongsang, dan segala jenis perhiasan yang menonjol. (saya tidak bermaksud membenci fesyen, cuma disebabkan terlalu lama berada di UK dimana sangat susah hendak jumpa orang bertudung,  fesyen sedemikian rupa sangat menarik perhatian orang.)

5. Wanita yang bertudung dengan sempurna, samada bertudung labuh atau memakai tudung yang cukup untuk menutup auratnya tanpa menarik perhatian mana-mana lelaki secara amnya.

Cuba bandingkan dengan kisah kucing dan ikan tadi. Wanita yang bagaimanakah yang paling kurang menarik perhatian lelaki?

– – – – – – – – – – – – – – –  – – –

Mari kita lihat kembali, kenapa wanita perlu bertudung?

33:59

O Prophet, tell your wives and your daughters and the women of the believers to bring down over themselves [part] of their outer garments. That is more suitable that they will be known and not be abused. And ever is Allah Forgiving and Merciful. [33:59]

Ayat diatas menerangkan dua kesan bagi wanita yang memakai tudung, yakni supaya mudah dikenali dan supaya tidak diganggu. Jadi, pemakaian tudung yang menarik perhatian lelaki bukankah menjadi penyebab seseorang wanita itu boleh diganggu?

Wallahu’alam.

AFA

Resonans: Kebersamaan yang menggetarkan

9 Aug

“Abu, tau tak apa frekuensi radio untuk IKIMfm?”

“Entah. Aku jarang dengar stesen radio tu. Selalu dengar FLYfm je. Cuba tanya Ali, mana tahu kalau dia tau.”

“Isy, korang ni. Nampak sangat jarang dengar radio Islamik. Kalau sekitar kawasan Ipoh, frekuensinya adalah 102.7 fm.”

Setiap stesen radio tertentu, ada frekuensinya yang tersendiri. Malah, selalunya setiap kawasan yang berlainan, frekuensi untuk satu-satu stesen radio turut berbeza. Dalam kemajuan era teknologi masa kini, terdapat lebih 30 stesen radio di negara kita. Terpulang kepada setiap individu untuk memilih stesen mana yang sesuai dengan halwa telinga mereka sendiri. Kalau yang minat lagu-lagu klasik, mungkin SINARfm atau KLASIKfm menjadi pilihan. Bagi peminat muzik Inggeris, FLYfm, HITZfm, dan macam-macam lagi stesen radio yang lain sedia terhidang. Persoalannya, yang manakah menjadi pilihan hati? Atas alasan apakah ianya begitu diminati? Tepuk dada, tanyalah iman.

“Kenapa solat Subuh kat Malaysia ada baca doa qunut tapi kat UK tak buat pun?”

Tersenyum saya keseorangan apabila mendengarkan pertanyaan sedemikian rupa, terutamanya apabila ditanya oleh pelajar-pelajar tahun satu yang baru sahaja kali pertama datang ke UK. Bagi sesiapa yang selalu mendengar radio, pasti tahu akan jawapannya. Bagi yang selalu mendengar IKIMfm, frekuensi di Kedah dan Ipoh adalah berbeza. Di Kedah pengguna perlu menetapkan frekuensi radio mereka kepada 89.0 fm sedangkan di Ipoh adalah 102.7 fm. Siaran yang ke udara pada satu-satu masa adalah siaran yang sama, yang membezakannya adalah frekuensi yang berbeza pada tempat yang berlainan. Begitulah juga Islam. Lain tempat, lain ‘frekuensi’nya. Namun content Islam itu sendiri adalah tetap sama walaupun pembawaannya terdapat sedikit kelainan berdasarkan kepelbagaian mazhab yang disesuaikan dengan keadaan kawasan tertentu yang dibolehkan syarak.

Bercakap pasal frekuensi, teringat pula kepada satu fenomena yang juga mempunyai kaitan dengan frekuensi, yakni RESONANS.

Resonance is the tendency of a system to oscillate at a greater amplitude at some frequencies than at others.

AMARAN: Video mengeluarkan bunyi yang berfrekuensi tinggi. Sila perlahankan bunyi pembesar suara anda.

Cuba perhatikan bagaimana gelas kaca tersebut boleh pecah. Tiada apa yang menyentuh gelas tersebut melainkan bunyi yang berfrekuensi tinggi. Dalam bahasa yang lebih mudah, gelas tersebut pecah disebabkan resonans yang berlaku. Gelombang bunyi yang sama frekuensinya dengan frekuensi asli partikel-partikel gelas itu menyebabkan ianya bergetar pada kedudukan yang statik. Dan apabila ianya mencapai amplitud yang maksimum, maka partikel tersebut mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memecahkan ikatan antara mereka lalu pecah.

8:2

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. [8:2]

Ayat di atas telah membuktikan kewujudan konsep resonans dari dahulu lagi. Allah telah menyatakan bahawa frekuensi asli hati seorang yang beriman adalah ayat-ayatNya (zikir). Apabila seseorang hamba beriman itu berzikir, maka hatinya akan bergetar kerana takutkan kepada Maha Pencipta.

“Hati hendak, semua jadi.” Kalau hati sudah digetarkan, maka getaran tersebut bakal mengahasilkan kekuatan dan keinginan yang sangat kuat dan diterjemahkan dalam perbuatan.  Apabila mata hati telah celik kepada kebesaran Allah, maka lahirlah keikhlasan dalam diri individu tersebut. Maka semua perbuatan yang dilakukan hanyalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt.

Jika ingin berbicara akan perihal hati, saya khuatiri post ini akan terlampau panjang. InshaAllah jika diizinkan, saya akan kongsikan kepada kalian semua akan perihal hati di post yang lain. Diharapkan anda semua dapat menangkap mesej yang ingin saya sampaikan, yakni perihal kepelbagaian frekuensi dan fenomena resonans ini. Semoga sama-sama kita mendapat manfaat daripadanya.

Wallahu’alam.

AFA

p/s Selamat menunaikan ibadah puasa dan semoga Ramadhan kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya menjadi lebih baik daripada tahun lepas.

Ahlan wasahlan ya ramadhan!!!

24 Jul

Salam wbt..
Apa khabar anakku? Tahukah engkau bahawa pada keesokan harinya kita, sebagai seorang muslim akan mula menunaikan salah satu daripada ibadat utama kita, yakni puasa. Ya anakku, Ramadhan Al-mubarak telah datang memberikan kita sekali lagi peluang untuk beribadat mengharapkan keampunan daripada Allah swt. Sesungguhnya keampunan dari Allah swt adalah satu kejayaan yang paling agung. Maka, bersediakah engkau wahai anakku??

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-oramg beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
[Al-baqarah, 2:183]

Anakku, turunnya ayat tersebut untuk mewajibkan iabadat puasa kepada kita sebagai seorang muslim. Maka jika ada di antara rakanmu yang bertanyakan mengapa kamu berpuasa di bulan ramadhan ini, ceritakan kepada mereka perihal ayat ini. Ceritakan bagaimana puasa itu dapat membentuk ketaqwaan dalam dirimu. Ayah pasti kamu sedia maklum akan tujuan mengapa kita berpuasa. Benar anakku, seperti apa yang disebut dalam ayat itu, puasa itu sepatutnya dapat membentuk ketaqwaan dalam diri ini. Maka pastikan puasamu sepanjang bulan ramadhan ini mencapai objektifnya. InshaAllah marilah kita sama-sama usahakannya..

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“(iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah. iaitu memberi makan orang miskin. Tetapi barangsiapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
[Al-baqarah, 2:184]

Anakku, diceritakn juga dalam ayat seterusnya berkenaan orang-orang yang dibolehkan atau diberikan kelonggaran semasa bulan puasa ini. Orang yang SAKIT dan juga MUSAFIR diberikan kelonggaran dalam berpuasa di bulan ramadhan. Cuba engkau fikirkan mengapa Allah menyebut berkaitan orang yang sakit dan musafir ini? Bayangkan jika dirimu dalam keadaan sakit terlantar di hospital. Allah berikan engkau kelonggaran agar engkau mudah dan cepat sembuh dari sakitmu itu. Dan untuk orang yang bermusafir, bayangkanlah mereka terpaksa menempuh perjalanan yang panjang, ditambah pula dengan cuaca yang panas dan kering, pasti mereka haus dan pasti ada yang tidak mampu untuk meneruskan puasanya terutamanya golongan yang sudahpun berumur. Tetapi dalam penghujung ayat itu, dikatakan bahawa puasamu itu lebih baik sekiranya kamu mengetahui. Maka, sekiranya kamu mengetahui akan kelebihan berpuasa ketika itu, maka kamu akan terus juga dengan puasamu itu walaupun engkau dalam keadaan sakit ataupun bermusafir.

Dalam ayat itu juga diterangkan bahawa orang yang meninggalkan puasa di bulan ramadhan atas alasan-alasan tadi, maka diwajibkan ke atasnya untuk menggantikan kembalinya puasanya sebanyak jumlah hari yang ditinggalkannya. Bagi yang tidak mampu, seperti sakitnya yang masih tidak sembuh-sembuh atau orang tua yang sudah uzur, maka Allah memberikan alternatif lain yakni membayar fidyah. Fidyah itu adalah memberi makan kepada orang miskin. Engkau boleh rujuk berkenaan fidyah di laman ini. (klik)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Bulan ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantikannya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.”
[Al-baqarah, 2:185]

Anakku, ayat tersebut menceritakan sedikit sebanyak kelebihan bulan ramadhan ini. Bulan di mana al-quran diturunkan, dan juga bulan di mana seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa di siang hari. Diceritakn juga berkenaan tujuan al-quran diturunkan kepada manusia, yakni sebagai petunjuk kepada manusia. Bahkan al-quran juga mempunyai penjelasan-penjelasan kepada petunjuk tadi serta merupakan pembeda antara yang haq dan batil.

Dalam ayat ini juga diperingatkan sekali lagi oleh Allah swt bahawa kelonggaran dalam ibadat puasa diberikan kepada orang yang sakit dan musafir. Namun, mereka masih tetap perlu menggantikan puasa yang mereka tinggalkan dan mencukupkan bilangan hari berpuasa dalam bulan ramadhan. Ternyata Allah swt itu Maha Pemurah kerana berkehendakkan kesenangan kepada hambaNya dalam beribadah kepadaNya. Maka kita sebagai hamba yang serba lemah ini perlu selalu bersyukur atas segala rahmat dan kurnia yang diberikanNya.

Wah, panjang pulak entri kali ini. Ayah sudah kepenatan wahai anakku. Maafkan ayah atas kelemahan ini. Baru sebentar tadi ayah berjaya menunaikan solat sunat terawikh 20 rakaat selama hampir 2jam. Alhamdulillah, bersyukur pada Allah swt. Mohon doakan agar ayah sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan mencari keredhaan Allah di bulan yang mulia ini. Marilah kita sama-sama berlumba untuk mencari pahala yang berlipat ganda di bulan yang penuh barakah ini. Ayuh!!!

Salam sayang dari ayahmu,
-bapamu @birm 0101 11/08/10-

p/s teringat post berkaitan Ramadhan tahun lepas. dipetik daripada blog persendirian. AFA

Kenapa singgah kalau tak masuk???

19 Jul

Ali dan Abu adalah rakan karib semenjak sekolah rendah lagi. Persahabatan mereka bagai air yang dicincang tidak pernah putus. Namun atas urusan pekerjaan, Ali terpaksa berpindah ke luar negara meninggalkan Abu di Malaysia. Setelah sekian lama berpisah, akhirnya Ali berkesempatan mengambil cuti selama seminggu untuk pulang ke Malaysia melawat Abu.

Keretanya diberhentikan di sebuah rumah yang sangat dikenalinya. Kereta milik Abu yang bewarna kuning itu membuatkan Ali tersenyum sendirian. Banyak kisah di sebalik persahabatannya dengan Abu. Tanpa sempat berjumpa dengan Abu, Ali terus masuk ke dalam kereta dan berlalu pulang. Akhirnya, Ali meninggalkan Malaysia tanpa sempat berjumpa dengan rakan karibnya yang sekian lama terpisah….

____________________________________________

Kalau difikirkan, memang cerita ini tidak logik. Orang yang datang dari jauh dengan tujuan untuk berjumpa seseorang, akhirnya beredar selepas sampai di rumah orang tersebut tanpa sempat berjumpa dengannya. Sangat pelik. Malah ada yang mengatakan orang seperti ini adalah bodoh dan tidak berakal.

Kenapa singgah kalau tak masuk?”

107:4

“Celakalah bagi orang-orang yang bersolat.” [107:4]

Umumnya, kita solat sebab hendak berjumpa dengan Allah. Namun ramai yang apabila dah singgah,mereka tidak mahu masuk berjumpa dengan Maha Pencipta. Waktu bersolat, tidak khusyuk. Asyik memikirkan perkara duniawi dan hal-hal lain. Dan akhirnya, ramai yang menjadi golongan yang kita labelkan sebagai pelik dan bodoh itu tadi. Solat, tetapi tidak ‘memasukkan’ hati ke dalam solat mereka.

29:45

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”[29:45]

Selagimana solat yang kita kerjakan itu tidak mencegah kita dari melakukan perkara keji dan mungkar, itu bermaksud bahawa kita hanya singgah untuk berjumpa dengan Allah. Kita masih lagi belum masuk sepenuhnya untuk berjumpa dengan yang Maha Esa.

Dalam kitab suci Al-Quran, golongan seperti ini bukan lagi di katakan bodoh, malah dilabelkan oleh Allah sebagai munafik.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [4:142]

Marilah kita singgah bersama-sama agar kita juga dapat masuk bertemu denganNya di syurga yang telah dijanjikan.

Wallahu’alam.

AFA

p/s bahan bacaan tambahan berkaitan solat yang mencegah kemungkaran. (klik)

Titik peluh terakhir

15 Jul

Peluh.

Pasti dalam dunia ini, semua pernah merasai keadaan berpeluh. Terutamanya masyarakat yang duduk di kawasan yang panas terik dan lembap seperti di Malaysia. Malah di UK, sewaktu musim panas, sangat kerap juga berpeluh.

Kenapa kita berpeluh?

Bersukan boleh keluar peluh.
Kalau dalam keadaan panik, mesti berpeluh.

Ya. Banyak sebab yang membolehkan seseorang itu berpeluh. Malah ada juga yang berpeluh akibat makan makanan yang bagi dirinya terlampau pedas. Macam-macam alasan lagi kenapa sesorang itu berpeluh.

Berpeluh itu tak best?

Rimas.
Tidak selesa.
Baju basah.
Badan berbau.

Rata-rata memang ramai yang tidak suka jika berpeluh. Mereka seboleh-bolehnya cuba untuk mengelakkan diri daripada berpeluh. Ada yang kurangkan aktiviti luar sewaktu panas terik. Ada yang mengurung diri dalam bilik yang berhawa dingin. Malah ada yang 24jam masanya dihabiskan dibawah kipas angin. Bagi mereka, berpeluh itu adalah sesuatu yang sangat tidak disukai dan menyebabkan rasa tidak selesa.

Penyejatan dan peluh?

Sesiapa yang pernah belajar Sains sewaktu di sekolah dahulu pasti tahu akan proses penyejatan ini. Dalam bahasa mudahnya, ianya adalah proses air yang menyerap haba dari sekeliling lalu bertukar menjadi wap. Dan berpeluh juga sebenarnya adalah salah satu proses penyejatan yang berlaku secara semulajadi kepada setiap manusia.

Kesimpulannya, apabila badan seseorang itu panas daripada biasa, maka dia akan berpeluh. Dan peluh ini akan menyerap haba yang dikeluarkan dari badan, lalu tersejat ke udara. Kesannya, suhu badan kita akan kembali normal seperti biasa.

Berpeluh itu bagus?

Kalau mengikut logiknya, seseorang yang mempunyai tubuh badan yang sihat, berpeluh itu bagus untuk kesihatannya kerana suhu badannya adalah normal. Oleh itu tidak hairanlah jika seseorang yang demam panas, mereka akan berbungkus dalam selimut yang tebal, semata-mata untuk bagi berpeluh supaya suhu badan mereka kembali normal. (Fakta ini tidak boleh digunapakai kerana tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ianya benar.)

Kenapa ramai orang tidak suka kalau berpeluh?

Kebanyakan orang hanya melihatkan kepada masalah luaran akibat berpeluh sahaja. Yang mereka nampak hanya perasaan rimas, tidak selesa, dan bdan yang melekit kesan daripada berpeluh. Sekiranya mereka dapat melihat kepada ‘kesenangan’ hasil daripada berpeluh itu, pasti tidak ramai yang merungut apabila berpeluh.

94:5
94:6

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” [94:5-6]

Ketahuilah bahawa walaupun peluh itu membawa seribu satu perasaan yang tidak menyenangkan, penghujungnya pasti akan ada kemudahan yang diperoleh.

Perihal ayat 5 dan 6 surah ke 94

Mengikut terjemahan tafsir Fi Zilal Quran oleh Sayyid Qutb, ayat tersebut menerangkan bahawa kesukaran tidak datang begitu sahaja tanpa ditemani sedikit kemudahan. Apabila beban seseorang bertambah berat, Allah akan melapangkan hatinya dan meringankan kesukaran yang dihadapinya itu.

Pengulangan ayat tersebut yang khusus ditujukan kepada Nabi Muhammad saw menerangkan bahawa baginda telah menanggung kesukaran yang serius dan mengalami banyak penderitaan.Peringatan ini juga mengingatkan kepada pelbagai aspek perhatian dan kepedulian yang ditunjukkan kepada baginda dan kemudian menjaminnya dengan tegas sekali.Dan urusan yang dirasakan berat itu, jelas merupakan urusan yang penting dan agung.

Kesimpulannya…

Kesan berpeluh itu walaupun hakikatnya adalah sesuatu yang sulit, di pengakhirannya ia pasti membawa kemudahan untuk kita sendiri. Dan yang lebih penting adalah ayat terakhir dalam surah ke 94 ini yang juga berbunyi:

94:8

“Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”

Wallahu’alam.

AFA